Bertemu kembali..
Jika sebelum ini saya membincangkan semangat dan perjuangan OKU lebih menjurus kepada penampilan diri dan penjagaan kesihatan, kali ini saya ingin terus membicarakan semangat dan perjuangan OKU kepada perjuangan menghadapi persaingan dalam pekerjaan.
Ramai OKU datang menemui saya bertanyakan peluang pekerjaan jika ada untuk mereka. Pertama dalam minda dan seiring hati saya akan berkata, kerja bagaimana yang sesuai untuk mereka? Mengapa saya berfikir sedemikian? Ini adalah kerana OKU mempunyai pelbagai kategori. Jika pun yang cacat fizikal tentunya mereka berbeza dari segi keupayaan. Saya melihatnya dari sudut kelebihan dalam fizikalnya. Ada yang mempunyai kelayakan, ada yang mempunyai semangat juang yang tinggi tetapi masalah yang timbul tawaran kerja yang diberikan tidak sesuai untuk individu tersebut.
Dalam menghadapi permasalahan seperti ini, OKU perlulah memikirkan pelbagai sudut yang boleh mengeluarkan diri dari permasalahan ini. OKU harus berani membuat sesuatu yang bukan dari kebiasaan "unusual". Sebagai contoh, jika OKU bernama Q mempunyai kecacatan tangan "kudung" sama ada sebelah kiri atau kanan, Q kena bijak melihat apa kelebihan yang ada sebagai satu kekuatan dalam dirinya. Ini bermakna Q kena belajar menggunakan sebanyak mana kekuatan tangan sebelah untuk urusan diri. Dalam hal ini Q kena berlatih dan terus berlatih dengan kecekalan hati. Latihan yang bertubi-tubi akan menjadikan seseorang bertambah mahir dan tentunya akan memberi impak yang besar pada diri Q. Kenapa saya berkata demikian? Pertama wujud rasa perubahan sikap yang tinggi dalam diri Q. Perubahan sikap ini tentunya seiring dengan disiplin diri. Dorongan yang tinggi ini tentunya akan menghasilkan hasil yang baik. Hasil yang baik ini dapat dilihat apabila masyarakat luar mengkagumi Q kerana sikap, disiplin dan adanya semangat juang yang tinggi dalam dirinya yang membuatkan dirinya boleh berdikari dengan kemahiran yang ada dan mungkin tiada kepada orang biasa.
Dari contoh di atas, bukan kah semangat dan perjuangan itu wajib dalam diri semua OKU. Kelebihan pada OKU kerana boleh mendorong orang yang tidak cacat atau masyarakat terbit rasa simpati. Istilah simpati ini walaupun saya kurang bersetuju, namun ianya sedikit sebanyak akan memberi peluang kepada mereka untuk memahami fitrah OKU. Saya lebih suka jika masyarakat melihat OKU dengan lahir perasaan empati. Empati yang lebih menjurus merasai penderitaan, kesusahan dan dalam masa yang sama wujud sikap bagaimana boleh membantu golongan OKU sama ada dari segi keilmuan, ekonomi, kesihatan dan juga peluang-peluang bakat yang lain. Jika kita melahirkan budaya simpati masyarakat hanya simpati mungkin seketika dengan menolong dengan cara menyuap sesuap nasi dalam mulut tetapi sampai bila mereka terus bersimpati dengan huluran bantuan sedemikian. Oleh yang demikian penjiwaan melalui sikap empati ini saya merasakan dapat membantu OKU keluar dari kepompong kehidupan yang lebih baik.
Dalam perkara ini, adalah amat jelas semangat dan perjuangan yang dipupuk kepada OKU harus lebih luas. Semangat juang itu boleh didorong melalui percambahan fikiran, perkongsian pengalaman, pengamatan dalam persekitaran, keilmuan yang dipelajari dan juga masyarakat sekeliling memahami dan sentiasa bekerjasama dalam mencapai impian ini. Jika kesemua elemen ini telah ada pada diri OKU, peluang kerja juga mudah menghampiri kita. InsyaAllah.
"Jika kesedihan terlalu dijiwai, mungkin kejayaan tidak menghampirimu, malah mungkin dia akan meninggalkanmu" ~ Syant Abra~